PENYAKIT BUAH PINGGANG
Jenis Penyakit Buah Pinggang
Penyakit Buah Pinggang Akut (AKI)
Kecederaan buah pinggang secara akut berlaku secara tiba-tiba (dalam anggaran jangkamasa hari ke minggu dan selalunya kurang dari 3 bulan).
Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD – Chronic Kidney Disease)
Penyakit buah pinggang kronik berlaku dalam jangkamasa yang lebih lama (anggaran dalam bulan ke tahun). Penyakit buah pinggang terbahagi kepada 5 peringkat. Penyakit ini jarang mengalami apa-apa tanda sehingga ke tahap akhir.
Penyebab
Penyakit Buah Pinggang Akut
Kecederaan akut buah pinggang boleh disebabkan oleh gangguan pengaliran darah ke buah pinggang seperti dehidrasi, kehilangan darah dalam jumlah yang banyak, penyempitan saluran darah ke buah pinggang.
Faktor kedua kerosakan adalah kerana sesetengah ubatan atau serangan inflamasi/radang atau jangkitan kuman yang boleh menyebabkan kerosakan kepada buah pinggang secara terus.
Faktor ketiga pula adalah apabila berlaku penyumbatan saluran kencing atau urinari yang menyebabkan gangguan pengaliran air kencing keluar. Ini selalu disebabkan oleh pembentukan batu karang, ketumbuhan serta pemyempitan di saluran kencing di sistem urinari.
Penyakit Buah Pinggang Kronik
Punca utama pesakit memerlukan rawatan dialisis disebabkan oleh penyakit kegagalan buah pinggang kronik (ESKD – End Stage Kidney Disease) adalah penyakit kencing manis serta penyakit darah tinggi yang tidak terkawal.
Penyakit multi-sistem seperti Systemic Lupus Erythematosus (SLE), radang buah pinggang (glomerulonephrritis), dan sindrom nefrotik juga boleh menyebabkan penyakit buah pinggang kronik sekiranya penyakit tidak dirawat.
Penyakit batu karang yang menyebabkan penyumbatan saluran air kencing secara kronik dan jangkitan kuman yang berulang juga boleh menyebabkan kerosakan kronik sekiranya lambat dirawat.
Antara faktor risiko lain adalah seperti obesiti, penyakit gout, pengambilan ubatan yang toksik/membahayakan buah pinggang serta mempunyai keturunan yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang seperti – Autosomal Dominant Polycystic Kidney Disease (ADPKD).
Gejala
Gejala penyakit buah pinggang berbeza dari individu ke individu yang lain. Ia banyak bergantung kepada penyebab penyakit buah pinggang tersebut serta tahap kerosakan buah pinggang itu sendiri. Seringkali, gejala yang dialami adalah tidak spesifik. Ini menyebabkan penyakit buah pinggang sukar dikesan pada peringkat awal.
Rawatan
Rawatan bermula dengan pencegahan dan mengenalpasti faktor risiko serta mengawal penyakit – penyakit yang boleh menyebabkan penyakit buah pinggang kronik. Ikuti tabiat pemakanan sihat yang disarankan oleh pakar pemakanan dan memastikan aturan pengambilan ubatan yang diberikan oleh doktor pakar dilakukan dengan betul.
Patuhi pemeriksaan berkala dengan doktor pakar supaya tahap kesihatan buah pinggang yang terkini diketahui.
Pencegahan Penyakit Buah Pinggang Kronik
Antara cara pencegahan am yang amat penting adalah mengamalkan gaya hidup sihat dari usia muda. Ini termasuk pengambilan makanan yang sihat serta pengambilan kalori yang sesuai dengan aktiviti serta tahap kesihatan masing-masing. DSSS atau diet suku suku separuh adalah antara cara pemakanan sihat yang patut diikuti.
Patuhi pemeriksaan berkala dengan doktor pakar supaya tahap kesihatan buah pinggang yang terkini diketahui.
Sumber maklumat : https://mybuahpinggang.com/